Saturday, February 7, 2009

MUHASABAH UNTUK BERUBAH


Bila terkena musibah, segeralah kita bermuhasabah. Itu kata-kata hikmat dari guru Tuan Gurau yang masih diingati hingga hari ini. Kita adalah manusia yang terlalu banyak kelemahan. Kita sering melakukan kesilapan.

Namun apa yang Tuan Gurau dapati, sikap kita hari ini nampaknya tidak begitu gembira bila kelemahan kita diperkatakan secara terbuka. Ia, bagi kita, sama seperti membuka pekung di dada dan sama juga dengan membasuh kain kotor di halaman. Kesannya samalah pula seperti menepuk air di dulang; kesudahannya memalukan diri sendiri.

Suatu masa dahulu, pendapat dan pandangan seperti itu bukan sahaja seratus peratus benar; malah memang sentiasa patut digunapakai. Waktu itu bukan sahaja yang buruk dan hodoh sering disembunyikan, malah yang cantik-cantik pun jarang di bawa ke depan.

Zaman telah berubah. Cara hidup berubah. Nilai-nilai kehidupan berubah. Banyak yang dulu tersembunyi kini terdedah; banyak yang dulu salah, kini bertukar menjadi sebaliknya. Dengan segala kecanggihan yang ada di sekeliling kita, sekarang ini tidak hanya dinding yang boleh bercakap. Lantai, bumbung, tiang, kerusi, meja, semuanya sudah tidak boleh diharap. Hanya satu tempat yang memungkinkan serba-serbi yang anda lakukan, atau yang berlaku pada anda tidak diketahui orang iaitu di dalam liang lahat. Hanya itu.

Inilah realiti yang harus dihadapi oleh sesiapa sahaja. Kita bukan lagi berada di zaman penyapu lidi, tetapi hidup bersama vacuum cleaner yang berupaya menyedut apa sahaja hatta habuk paling kecil di bawah permaidani.

Biasa-biasakanlah diri dengan keadaan ini. Belajar-belajarlah menerima realiti. Biasa-biasakanlah diri dengan perbincangan secara telus dan terbuka. Biasa-biasakanlah diri untuk berhujah dan menjawab secara bijaksana. Biasa-biasakanlah diri untuk menjaga dada supaya tidak berpekung dan menjaga kain supaya tidak kotor. Hanya dengan cara itu kita tidak takut dada kita dibuka di mana sahaja, dan tidak takut juga membasuh kain walaupun di atas jalan raya.

Lagi sekali Tuan Gurau ulangi; zaman telah berubah. Cara hidup turut berubah. Yang kekal tidak berubah hanyalah ‘orang-orang’ di tengah sawah. Ia masih macam dulu. Masih tidak berakal. Fungsinya masih sekadar untuk ‘menghalau’ burung.
Bezanya ia kini jarang lagi digunakan dan jarang juga dipedulikan orang. Dan Tuan Gurau yakin kita pun akan tidak dipedulikan orang jika masih berperangai seperti 'orang-orang'!

2 comments:

  1. Muhasabah orang politik tak boleh pakai. Hari ni cakap lain esok buat lain. Lebih-lebih lagi jika orang politik itu orang jantan!

    ReplyDelete
  2. Orang politiklah yang paling suka muhasabah. Itu sebab mereka bercakap berubah-ubah. Mana tidaknya merekakan selalu kena musibah.

    ReplyDelete