Sunday, April 19, 2009

POLITIK BARU



Inilah politik. Sebuah permainan persepsi. Anda boleh kata apa saja pada lawan. Dan anda boleh puji apa saja pada kawan. Emosi anda menentukan persepsi anda.

Ini bererti, apa yang anda kata tak sama dengan apa yang orang lain rasa.

Anda boleh bercakap macam-macam. Orang lain pula boleh fikir macam-macam tentang apa yang anda cakap.

Dalam politik hanya ada dua perkara. Iaitu bagaimana nak dapat sokongan untuk kawan dan bagaimana nak hilangkan sokongan untuk lawan.

Lalu pelbagai isu dan helah akan timbul. Fitnah dan hujah juga akan
muncul. Kebenaran dan kepalsuan boleh jadi salah boleh jadi betul.

Semua ini dinamakan strategi dalam politik. Ada orang sebut perang saraf. Ada juga yang kata mainan politik. Ada yang cakap propaganda. Dan tak kurang juga yang anggap sebagai perjuangan.

Realitinya, landskap politik hari ini semakin berubah. Peralihan kuasa kepimpinan silih berganti. Pertukaran generasi juga turut berlaku. Pengundi di saluran 1,2 dan 3 telah diisi oleh pengundi muda dari saluran 4, 5 dan 6.
Jelasnya, generasi pasca merdeka kini hanya tinggal minoriti. Generasi KBSR dan KBSM telah mendominasi arena politik tanah air moden.

Suka atau tidak, hakikatnya politik hari ini tidak lagi menjadi kepunyaan pemilik asal. Tiada siapa lagi yang boleh buka kancing baju, dabik dada dan mengatakan dia kuat dan hebat.

Kekuatan tidak lagi boleh bergantung harap pada alat media, fitnah adu dumba, hujah atau pelbagai lagi strategi propaganda.

Politik hari ini ialah politik hukum. Tiada lagi politik balas budi. Pemimpin atau parti yang salah di mata pengundi akan dihukum melalui undi. Jasa dan sumbangan parti atau peribadi jangan harap untuk dibalas. Jauh sekali untuk dijadikan habuan kempen.

Sistem politik kini sudah terbalik. Pengundi telah 'berperangai' seperti ahli politik. Manakala ahli politik telah 'berperangai' seperti pengundi. Pengundi hari ini akan berjanji untuk memangkah calon mereka. Namun, belum tentu mereka tunaikan janji mereka.
Pengundi akan 'berkempen' untuk menyakinkan ahli politik agar bertanding di kawasan mereka. Jika ahli politik termakan kempen pengundi, mereka akan dikuburkan . Dan jika ahli politik terpesona dengan layanan pengundi, mereka ada harapan dirompak hingga papa kedana.

Akhirnya, akan sampai satu masa di mana pengundi akan merayu kepada ahli politik agar masuk bertanding. Dan ahli politik pula akan mencari seribu satu helah untuk elak dari bertanding. Inilah politik baru!