Tuesday, February 10, 2009

35 TAHUN DAHULU UMNO JUGA DERHAKA DI PERAK




Ini pula posting dari blogger 'tiuB GereK'. Tuan Gurau ingin berkongsi pandangan beliau di Gurau Garau untuk tatapan pembaca sekalian.
_________________________________________

DERHAKA TERHADAP TITAH SULTAN PERAK: TAN SRI GHAZALI JAWI ENGGAN LETAK JAWATAN MENTERI BESAR PERAK

Sebenarnya sudah ada kes Menteri Besar yang enggan letak jawatan sebelum ini di Perak. Isu ini seharusnya dirujuk kepada perundangan, perlembagaan dan juga adat istiadat Melayu.

Apa yang dilakukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pakatan Rakyat mereka bukan tergilakan kepada jawatan Menteri Besar yang disamun secara penuh tektikal itu. Tetapi mereka mahu mempertahankan Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Maka penyeselaian secara berhemah perlu dengan berpandukan kepada perlembagaan iaitu kitab tatacara sesebuah negeri.

Pergolakan politik yang berlaku di Perak boleh dirujuk kepada sejarah yang telah berlaku di negeri Perak itu kira-kira 35 tahun lalu.

Kisahnya mengenai apa yang menimpa ke atas bekas Menteri Besarnya, Tan Sri Mohamad Ghazali Jawi pada tahun 1974. Beliau ialah ayah kepada Dato Seri Mohd Tajol Rosli yang juga bekas Menteri Besar Perak sebelum Mohamad Nizar.

Apa yang berlaku ke atas Mohamad Nizar hari ini senarionya sama walaupun suasana dan kondisinya berbeza. Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Shah sudah tidak berkenan untuk melantik Ghazali Jawi untuk menjadi Menteri Besar Perak buat kali kedua (sambung selepas habis dua tahun).

Bagaimana pun Ghazali Jawi tidak mahu melepaskan jawatan berkenaan dan kedegilan Ghazali Jawi itu menimbulkan masalah kepada Sultan Idris Shah. Tindakan Ghazali Jawi itu menyebabkan Sultan tidak dapat berbuat apa-apa, kerana Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak melarang baginda berbuat demikian.

Apa yang menjadi alasan dan dipertikaikan Mohamad Nizar kini itulah juga yang digunakan pakai oleh Ghazali untuk terus menjadi Menteri Besar. Pemuda Umno ketika itu memberi pandangan;
“Sultan Perak mempunyai hak melantik dan berkenan seseorang memegang jawatan Menteri Besar, tetapi setelah dilantik dan diperkenankan, Sultan tidak ada hak mengikut Perlembagaan Negeri untuk memecat atau memerintahkan supaya meletakkan jawatan. Oleh itu hak untuk memecat atau memerintahkan seseorang berhenti dari Menteri Besar hanyalah Presiden UMNO.”

Gara-gara keengganan Ghazali Jawi itu menyebabkan Sultan Idris murka dan bernazar baginda tidak akan mencukur janggut dan jambangnya sehingga Ghazali Jawi berhenti menjadi Menteri Besar.

Untuk beberapa ketika Sultan Idrsis Shah tampil di khalayak dengan keadaan berjangut dan berjambang. Beliau benar-benar melaksanaan nazarnya, tidak mencukur janggut. Sehinggalah Ghazali Jawi berundur menjadi Menteri Besar baru baginda membersihkan mukanya.

Perlu diingat bahawa Ghazali Jawi berhenti menjadi Menteri Besar Perak bukan kerana kuasa sultan tetapi setelah beliau dinasihati oleh Presiden Umno ketika itu Tun Hussein Onn agar Ghazali Jawi berbuat demikian.

Hasil nasihat Tun Hussein Onn maka Ghazali Jawi menghantar surat perletakan jawatan sebagai Menteri Besar pada tahun 1977.

Peristiwa ini telah petik daripada buku biografi Tan Sri Ishak Tadin yang ditulis oleh penulis veteran Perak yang juga merupakan kawan rapat kepada Sultan Idris Shah iaitu Encik Mokhtar Petah.

RIWAYAT TAN SRI GHAZALI JAWI (MENTERI BESAR PERAK)

Setelah tamat perkhidamatan di Mesir, Haji Mohd. Ghazali Jawi telah pulang ke tanah air dan dilantik sebagai ahli Dewan Senat (senator). Dia telah memegang jawatan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Setiausaha Agung UMNO.

Pada pilihan raya 1964 beliau telah menang merebut kerusi Dewan Rakyat (Kuala Kangsar) dan dilantik memegang jawatan Menteri Tanah dan Galian.

Sultan Idris Shah telah tidak berkenan melantik Ghazali Jawi sebagai Menteri Besar Perak kerana ketika Ghazali Jawi memengang jawatan Menteri Besar pertama (pada tahun 1960) Ghazali Jawi telah ditangkap oleh polis atas tuduhan melakukan rasuah.

Walau bagaimana pun kes Ghazali Jawi itu telah digantung dengan kehendak Perdana Menteri. Ghazali Jawi telah dihantar ke Republik Arab Bersatu. Pada masa itu Sultan Idris Shah masih menjadi Raja Di Hilir Perak.

UMNO Negeri Perak telah menjadi dua golongan. Satu golongan di sebelah bekas Menteri Besar, Haji Kamaruddin yang memihak kepada Sultan Perak. Manakala pihak yang lain memihak kepada Ghazali Jawi dan menentang Sultan Perak.

Kalangan UMNO yang menyebelahi Haji Kamaruddin Haji Mat Isa, di antaranya anggota-anggota Pemuda UMNO negeri, Abu Bakar Ashaari dan Abdullah Haji Mohamad.

Manakala mereka disebelah Ghazali Jawi pula terdiri dari ahli-ahli Dewan Negeri Perak, di antaranya, Hisan Ibrahim, Shafie Mat Saman, Masu’ud bin Untoi dan Ismail Abdul Rauf, Dato’ Abdul Malik Ahmad, Dato’ Seri Haji Wan Mohamed bin Haji Wan Teh dan Perdana Menteri Tun Abdul Razak yang mahu krisis antara UMNO dengan Sultan Perak itu mencapai penyelesaian segera.

Allahyarham Tun Abdul Razak telah menggunakan Tan Sri Ishak Tadin menjadi ‘perunding’ antara Sultan Idris dengan Ghazali Jawi. Tan Sri Ishak Tadin telah menggunakan kebijaksanaan dan diplomasinya memujuk Sultan Idris Shah.

Menurut sejarah, pada satu malam Tan Sri Ishak Tadin telah berkata kepada baginda sultan, bahawa Perdana Menteri, Tun Abdul Razak memohon baginda melantik Ghazali Jawi ke jawatan Menteri Besar dengan bersyarat, iaitu untuk selama dua tahun sahaja. Kemudian baginda boleh melantik ahli Dewan Undangan Negeri yang lain sebagai Menteri Besar Perak.

Sultan Idris Shah yang yakin akan kejujuran Tan Sri Ishak Tadin sebagai pegawai tinggi kerajaan negeri, maka baginda telah bersetuju dengan syarat itu dan baginda berkenan melantik Ghazali Jawi untuk memegang jawatan Menteri Besar Perak.

Pada 4 September 1974, Ghazali Jawi telah mengangkat sumpah memegang jawatan Menteri Besar, di hadapan Sultan Idris Shah, dalam Balai Rong, Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Dua hari kemudian, Sultan Idris Shah telah memanggil Tan Sri Ishak Tadin mengadap baginda, di Istana Tambon, Ipoh.

Dalam pertemuan Tan Sri Ishak Tadin dengan baginda itu, Tan Sri Ishak Tadin telah memaklumkan kepada baginda, bahawa dalam Perlembagaan negeri Perak tidak termaktub yang Sultan boleh melantik seseorang menjadi Menteri Besar selama dua tahun.

Kalau Tuanku melantik seseorang ahli Dewan Negeri Perak menjadi Menteri Besar, maka jawatan itu kekal kepada orang itu sehingga pilihan raya umum akan datang, iaitu kira-kira empat atau lima tahun,” kata Tan Sri Ishak Tadin kepada baginda.

Tan Sri Ishak Tadin dapat melihat wajah baginda membayangkan perasaan sesal kerana baginda melantik Ghazali Jawi sebagai Menteri Besar Perak. Kemudian Tan Sri Ishak Tadin memohon baginda bersabar bagi mengelakkan berlakunya krisis antara parti politik yang memerintah dengan pihak Istana.

Baginda akhirnya bersetuju. Setelah cukup tempoh dua tahun Ghazali Jawi memegang jawatan Menteri Besar, dia tidak mengundurkan diri dari kerusinya. Sultan Idris Shah telah menimbulkan perkara itu dalam beberapa titah baginda kepada orang ramai.

Ghazali Jawi dan beberapa orang anggota UMNO Perak telah menyanggah titah Sultan Idris Shah dengan berkata, “Tidak ada dalam Perlembagaan Negeri Perak Sultan melantik seorang ahli Dewan Undangan Negeri sebagai Menteri Besar selama dua tahun.” Semenjak itu krisis antara UMNO dengan Sultan Idris Shah berlarutan, sehingga tahun 1977.

Sultan Idris telah mengadakan nazar di Pulau Pangkor, iaitu selagi Ghazali Jawi tidak meletakkan jawatannya, baginda akan terus menyimpan janggut, jambang, misai dan tidak akan menandatangani sebarang surat Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Perak.

Selama kira-kira dua tahun Sultan Idris Shah tidak bekerjasama dengan Menteri Besar dan tidak memperkenankan sebarang keputusan mesyuarat Exco Negeri Perak. Banyak rancangan kerajaan, terutama berhubungan dengan kelulusan dan pembangunan tanah menjadi tergendala.
Ghazali Jawi terpaksa meninggalkan jawatannya kerana diberhentikan oleh Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada tahun 1977. Akhirnya Ghazali Jawi telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak. Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai duta Persekutuan Tanah Melayu ke Republik Arab Bersatu, Mesir.

Sultan Idris Shah kemudiannya telah melantik Datuk Seri Haji Wan Mohamed bin Haji Wan Teh sebagai Menteri Besar Perak berikutnya.

2 comments:

  1. Umno lupa sejarah. Hidup menipu rakyat.

    ReplyDelete
  2. janji orang tengah tidak terkota..harapan
    sultan tidak tercapai.

    sultan tiada asas untuk bertindak mgikut undang2.

    sekarang,sultan ada asas la..byk bezanye.

    keengganan umno berbuat demikian pun
    adalah menurut undang2 juga.

    cuma unsur2 menipu dan tertipu yang menjadi
    persoalan.

    namun ia kesilapan sultan juga.
    jadi tuanku gunakan cara tersendiri..pun
    tak salah di segi undang2.

    kesimpulannya..tiada pihak yg melanggar undang2.
    cuma kawan rapat tak leh dipercayai jugak.

    ReplyDelete